Saturday, November 7, 2009

KHAS BUAT IBU-IBU DI LUAR SANA...

Salam..,

Cuba bayangkan seorang emak yang sentiasa gigih membuat kerja-kerja rumahtangga. Sebenarnya semenjak saya kecil, saya begitu kagum dengan emak yang tanpa henti-henti membuat kerja-kerja memasak, mengemas dan menyapu rumah, membasuh dan mengemas pnggan mangkuk, dapur, membasuh pakaian (dulu tanpa mesin), menjemur, melipat, menggosok pakaian anak dan suaminya, belum sempat apa-apa adik yang kecil pula merengek minta susu, melayan dan menidurkan adik. Itu belum termasuk emak bersengkang mata menjaga adik yang sakit (walau ayah turut membantu). Seingat saya, emak begitu jarang berehat, walaupun beliau demam, kerja-kerja rumahtangga tetap dibuatnya, malah sesiapa pun seolah tak ambil peduli emak demam, sakit atau apa-apa pun (sementelahan lagi kami masih kecil), apa yang pasti, kami sentiasa mendapat keadaan rumah yang baik dan makanan yang sentiasa ada. Cuma pernah sekali sewaktu saya berusia 8 tahun, emak amat tak berdaya membasuh pakaian lantaran sakit senggugut yang keterlaluan, lantas kerja membasuh itu dengan sukarelanya saya lakukan (boleh bermain air!).

Begitu juga dengan ibu mertuaku. Bezanya emak saya seorang surirumah tangga sepenuh masa, ibu merta pula seorang guru. Bekerja di pagi hari, pulang ke rumah dari petang hingga ke malam tanpa henti menguruskan rumahtangga (cuma beliau ada sedikit bantuan dari budak-budak pengasuh yang tinggal bersama).

Kini, saya merasai perkara yang sama. Walaupun lelaki punyai tenaga yang lebih kuat dari wanita, namun sebenarnya membuat kerja-kerja rumahtangga sememangnya berat dan saya kagum kerana kita, kaum wanita yang lemah lebih hebat melakukannya berbanding lelaki. Ini kerana wanita melakukannya atas semangat kasih dan sayang terhadap keluarga. Rasa cinta, kasih dan sayang itulah yang sentiasa membakar rohani dan semangat para ibu untuk terus berkorban jasmaninya demi suami dan anak-anak. Rasanya, tanpa adanya perasaan kasih sayang pada keluarga, belum mungkin wanita yang bersifat lemah lembut dan punyai daya tenaga yang kurang dari lelaki berupaya melaksanakan kerja-kerja rumahtangga. Cubalah suruh Mr Mama mana yang sanggup membuat seperti apa yang emak, ibu mahupun kita buat sekarang ini, sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak mereka.

Semoga Allah terus memberi kekuatan dan kesihatan yang baik kepada semua para ibu, untuk terus bersemangat membuat kerja-kerja rumahtangga. Rumahku Syurgaku.. semoga anak-anak kita semua akan merasa sempurna dan gembira, sepertimana kita mengingati pengalaman seperti itu yang diberi oleh emak sewaktu kita kecil.

KHAS BUAT PARA IBU SEJATI DAN MITHALI DILUAR SANA.. SEMOGA SEGALA YANG DILAKUKAN DIBERKATI DAN BAKAL MELAYAKKAN KITA BERADA DI SYURGA RAUDHAH YANG PENUH KEBERKATAN DAN KASIH SAYANG.. Aminn...

Wednesday, November 4, 2009

Yang Amat Berhormat

Salam..,

Berbincang dengan suami tentang perangai sesetengah professor mahupun orang yang kaya dan berjaya, rupa-rupanya ada banyak perkara yang menjadi titik hitam pada sahsiah sesetengah individu yang kaya dan berjaya. Sifat ego, tamak, meninggi diri, busuk hati begitu mudah melekat pada hati mereka. Mengapa? Kerana tuntutan hidup mereka yang begitu kompleks, mencabar serta melibatkan wang yang banyak (harta dunia) mahupun kemasyuran nama di dunia menyebabkan mereka mudah lupa asal usul sebagai hamba Allah. Rasanya 'complexity' kehidupan yang mereka alami adalah satu cabaran yang kuat untuk kekal zuhud sebagai hamba Allah. Mereka adalah bos dengan gelaran Sir, Dato', Tan Sri, Dato' Sri dan banyak lagi, yang memungkinkan mereka dapat memiliki segala-galanya didunia ini.

Saya sedang membaca buku Aisyah: Keanggunan Sejati. Rupa-rupanya Rasulullah selalu berdoa agar ia sentiasa bersama-sama dengan orang miskin. Siti Aisyah bertanya mengapa dan Rasulullah menjawab, "Tahukah kamu Aisyah, orang miskin masuk syurga 40 tahun lebih awal dari orang kaya, oleh itu janganlah kamu menidakkan orang miskin". Frasa itu menyebabkan saya terfikir, mengapa demikian? Lantas hasil pemerhatian, membawa minda ini pada satu jawapan: "Complexity" hidup. tidak hairanlah Dato', Tan Sri, Dato' Sri yang memiliki hidup yang amat kompleks, memungkinkan mereka membuat lebih banyak dosa berbanding dengan orang miskin yang hidupnya lebih simple dan ringkas. Dosa disini, rasanya lebih kepada dosa sesama manusia...(tidak dinafikan ada orang kaya yang begitu zuhud sebagai hamba Allah, Alhamdulillah). Harus diingat, kekayaan dan kefakiran melampau boleh membawa kepada kekufuran. Semua itu antara dugaan dalam kehidupan.

Dalam buku Telaga Budi, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah berkata, "Saya takut orang yang diberi gelaran di dunia umpamanya dengan pangkat Yang Amat Berhormat, tahu-tahu diakhirat kelak, gelaran itu menjadi terbalik. Daripada Al-Aziz menjadi Yang Amat Hina. Daripada Yang Amat Setia kepada Yang Amat Derhaka, Daripada Yang Amat Arif menjadi Yang Amat Bebal lagi Buta Hati. Daripada Yang Amat Berbahagia menjadi Yang Amat Berdukacita."

Saya amat takut dan bimbang.. kerana kematian adalah "Game Over" dan akhirat adalah sesuatu yang abadi.. tak akan boleh balik ke dunia bagi menebus dosa.. walahu'alam.. Ya Allah, lindungilah kami..

Friday, October 30, 2009

Baca Al-Quran...?

Amat tertarik dengan sedikit sedutan dari cerita cikgu Noorain sewaktu ucapan guru bertugas minggu lepas. Cerita berkenaan seorang cucu yang bertanya pada datuknya, kenapa mesti dia baca Al-Quran sedangkan dia tidak memahami sepatah baris pun bahasa arab. Entah apa mesej yang terkandung dalam ayat-ayat Al-Quran, dia tidak tahu. Serupa dengan dia tidak payah membacanya.

Datuk tersebut tersenyum. Diambilnya sebuah bakul yang ada kebocoran, kemudiaan digosokkan dengan arang. Bakul itu menjadi kotor sekali. Setelah itu dia membuangkan arang tersebut dan menyuruh cucunya menggunakan bakul itu untuk mengambil air di sungai. Cucu itu pun berulang-alik dari sungai ke rumahnya, membawa muatan air, namun sesampai di rumah, air dibakul telah kosong kerana menitis disepanjang perjalanannya. Setelah bebarapa kali berulang-alik, dia mengeluh kerana tiada air pun yang berjaya di bawa pulang ke rumah akibat kebocoran pada bakul itu.

Dikhabarkan pada datuknya. Si datuk tersenyum, mengatakan sememangnya tidak akan ada air yang berkaya di bawa pulang kerana bakul itu bocor. Dia menyuruh si cucu melihat bakul itu samaada mash kotor atau bersih. Didapati bakul itu telah bersih.

Begitulah analoginya bagi insan yang tidak faham bahasa arab, namun janganlah ia dijadikan halangan untuk kita mengaji, kerana ayat-ayat Al-Quran boleh menyucikan hati. Insya-Allah cahaya Al-Quran yang menyinar akan menerangi jiwa-jiwa kita. Khas kepada para remaja yang mungkin "berat" lidah dan hati untuk membaca barang sepotong ayat Allah, apatah lagi cuba untuk menyemak tafsirnya.

Jangan juga dijadikan alasan tidak tahu tajwid yang betul menyebabkan kita terasa keberatan membaca ayat Allah ini. Allah Maha Penyayang lagi Maha Pengasih. Basah-basahkanlah lidah dan hati dengan Al-Quran. Jika terlalu sibuk sangat pun, peruntukkanlah paling tidak 5-10 minit membaca kalimah Al-Quran. Bandingkanlah dengan 2 jam sehari anda mengadap TV atau internet.. yang mana satu lebih anda gemari...? Fikir-fikirkanlah...

Wednesday, October 21, 2009

ORANG PALING HINA

Salam..,
Ini realiti dalam kehidupan kita di dunia ini : Pasti ada seseorang individu yang kita merasakan tiada "chemistry" antara kita dan dia.. sepatah perkataan kita, dibalas dengan sepatah perkataan yang sememangnya jauh terpesong dari apa yang kita harapkan. Semacam tidak boleh berkomunikasi dengannya. Lebih sakit jika jawapan-jawapan yang diterima amat menyakitkan hati.
Seandainya individu itu hanya tiada chemistry dengan kita seorang, namun tiada masalah dengan orang lain, rasanya tiada hal. Apa yang sering bermain-main di kepala saya ialah, bagaimana pula dengan hanya SEORANG individu yang hampir TIDAK punya chemistry dengan RAMAI orang. Bererti ramai orang yang selalu tidak bersetuju dengannya, mungkin akibat bahasa atau perkataannya, ramai sekali yang tidak berupaya berkomunikasi dengan berkesan dengannya, atau menyebabkan ramai orang sakit hati dengannya. Malah tidak berapa suka untuk menegurnya andai terserempak di tengah jalan pun. Pernahkah anda "terjumpa" dengan orang seperti ini..? Persoalan saya, Bahagiakah hati orang seperti ini? Mungkinkah dia selalu merasa kehadiran Tuhan disisinya sewaktu dia menyakiti hati ramai orang? Adakah dia seorang yang baik, namun disalah tafsir oleh orang ramai?
Saya menemui jawapan kepada persoalan saya ini dalam buku Aisyah: Ummul Mukminin Keanggunan Sejati karya Sulaiman An-Nadawi.
Rasulullah pernah melabelkan seorang lelaki sebagai " Ini adalah orang paling buruk dalam kaumnya". Sepantas kilat Aisyah bertanya mengapa Rasulullah berkata demikian.
Nabi menjawab, " Wahai Aisyah, manusia yang paling hina adalah yang ditinggalkan oleh orang kerana mereka takut pada ucapannya yang buruk" - Hadis Bukhari, Muslim Tarmizi dan Abu Dawud.
Maha Suci Allah, semoga kita semua bukan dalam kategoti manusia serupa itu. Jagalah hati dan lidah kita semua agar tidak dibenci orang.. Wallahu'alam...

Wednesday, October 14, 2009

JARAK SEBUAH SYURGA

"Ibu.. syurga tu jauh ke dekat..?" Soal Najihah, 4 tahun pada suatu malam, sewaktu saya dan dia sedang berbaring-baring untuk tidur.

Dalam suram cahaya lampu tidur, kelihatan wajahnya semacam mahukan satu jawapan kepastian. Sebelum itu ada ditanyakan pada sayaAllah tu ada mata, ada telinga..? Sudah saya jawab dengan jawapan tentang sifat-sifat Allah. Namun, bila soalan serupa ini "Syurga .. jauh .. ke .. dekat?" bagaimana harus dijawab dalam skop kefahaman kanak-kanak 4 tahun.

Dalam 3-4 saat saya terkedu sebelum mendapat Ilham...., "Syurga tu dekaaat sangat kalau kita orang yang baik, orang yang soleh.. kalau Jihah ikut kata Allah, ikut kata ibu, ayah. .. solat, mengaji, zikir, tak buat nakal, tak gaduh-gaduh dengan kakak, abang, tolong kawan-kawan....Syurga tu dekatlah..."

"Kalau orang jahat?" Soalnya lagi..

"Kalau orang jahat, Syurga tu jauhlah.. jaaauuhhh sangat..., lamaa.. sangat baru dia jumpa syurga" . Dia terdiam.. mungkin berfikir sesuatu.. , "Kalau gitu esok-esok Jihah nak jadi baik, nak dengar cakap ibu..." balasnya, sambil memeluk saya erat.. kemudian tiada soalan lagi hinggalah tertidur.

Saya terfikir sendirian, nampaknya antara sedar atau tidak saya telah menjawab persoalan "sufi" hati yang bersih dan ikhlas seorang kanak-kanak berusia 4 tahun berlandaskan fakta relatif masa. Mungkin relatif masa itu adalah antara jatuhnya surat amal kita, samaada di tangan kiri atau kanan, hingga ke tamatnya sebuah penyiksaan di neraka jahannam bagi insan berdosa.

Golongan yang menerima surat amal di sebelah kanan, amat singkat jalannya ke Syurga Firdaus (lebih dekat) berbanding dengan golongan yang menerima surat amal di tangan kiri (Lebih jauh kerana terpaksa berhadapan dengan neraka)..

Subhanallah.. Syurga itu dekat, wahai anakku... amat dekat bagi orang yang beriman, beramal soleh dan sentiasa di bawah keredhaaNya..

Wednesday, October 7, 2009

PUASA PENUH




Salam..
Ramadhan tahun ini paling bermakna buat anak-anakku, Nur Aqilah Has-Yun 9 thn dan Ajmal Hadi Has-Yun 6 thn kerana tahun pertama berjaya berpuasa penuh sebulan Ramadhan.. Syabas anakku..











Tuesday, October 6, 2009

Bangkangan demi bangkangan..

Salam..,
Ada orang semacam tak habis-habis suka membangkang. (Bukan hal parti pembangkang - tapi senario biasa disekeliling kita). Ada saja yang tidak kena dengan apa yang orang lain buat. Namun, aku pasti 100%, mengikut pengalaman juga, orang semacam ini tidak akan boleh menyelesaikan tugasan yang dibuatnya jika dia ditempat orang yang dibangkangnya itu. Orang seperti ini hanya bising mulut, tapi seperti tong kosong, tiada nilai kepimpinan. Bising di belakang, membangkang itu dan ini. Itu salah, ini pun salah.
Sepatutnya buat itu, sepatutnya buat itu. Cubalah beri dia tugas atau projek, lihat sejauh mana keupayaanya. Selalunya orang seperti ini ada saja alasan, apa yang pasti, dia tidak akan dapat memimpin sebaiknya. Pelik kan manusia seperti ini.. bukannya tiada ilmu.. apa yang pasti dia merasa puas dengan aktiviti membangkang. Kalau bangkangan kerana melewati suruhan Allah, pastinya tiada salahnya. Namun yang peliknya, bangkangan itu seolah mahu menjadi juara hak asasi.. namun pernahkah terfikir, bukan mudah untuk ketua memuaskan hati semua pihak ...
Maha Besar Allah, semoga aku dan ahli keluargaku tidak tergolong dalam golongan itu.. semoga sahabat-sahabatku juga tidak demikian. Semoga kita semua tidak demikian...