Sunday, March 8, 2009

PPSMI...

Salam...,

Melihatkan blog saudara Faizal dan gambar-gambar demontrasi menentang PPSMI.. saya terfikir sesuatu... tidakkah kerajaan cuba memandang serius betapa seriusnya apa yang cuba disampaikan oleh pihak yang tersebut..

Sebagai seorang individu yang lahir sebagai pelajar aliran sains dari sekolah menengah hinggalah peringkat Universiti, memiliki Ijazah Sarjanamuda Sains, kini seorang guru Sains, saya juga sebenarnya telah lama memikirkan sesuatu, sejak mula PPSMI mula diperkenalkan. Mungkin apa yang saya fikirkan kelihatan jumud di mata pihak yang memperjuangkan PPSMI..

Sejak awal lagi, akibat keterlangsungan PPSMI, saya telah terbayangkan 30 tahun akan datang, tidak mustahil lahirnya cerdik pandai, saintis, doktor dan jurutera melayu dan lebih ramai yang bukan melayu (namun anak Malaysia) yang tidak akan dapat menerangkan cerita-cerita saintifiknya dalam bahasa yang kita banggai, iaitu Bahasa Melayu. Saya terfikir demikian kerana saya memang seorang Sains dan berjiwa sains. Saya berkata begitu kerana telah berjumpa seorang Doktor Perubatan yang tidak tahu menceritakan ilmu perubatannya ke dalam Bahasa Melayu.. (mendapat ijazah perubatan dari luar negara, walau bukan produk PPSMI). Saya berkata demikian kerana saya pernah bekerja sebagai penyelidik bidang kimia di UTM, saya berkata demikian kerana saya dan suami juga pernah menetap di bumi Inggeris. Saya berkata demikian kerana saya seorang guru Sains.

Sesungguhnya saya bangga mempelajari Sains dalam Bahasa Melayu. Saya mempelajari istilah-istilah sains dalam bahasa ibunda, pada waktu yang sama saya juga memahami istilah saintifik dan segala macam keterangan saintifik dalam Bahasa Inggeris. Saya bangga kerana saya rasa saya tidak cacat dalam Bahasa Inggeris, boleh bertutur dan menulis dalam Bahasa Inggeris. dalam masa yang sama kaya dengan ilmu sains dalam bahasa ibunda. Bukankah itu akan menjadi "harta khazanah" kita, orang melayu?

Tanyalah anak didik saya yang dibesarkan dalam PPSMI.. kenal apa itu nombor bulat..? Nombor tunggal..? Apa itu Interferens membina atau membinasa..? Apakah Unsur? Apakah Jisim Atom Relatif? Apa itu sisihan piawai? Belum lagi menyuruh mereka menerangkan proses-proses sains dalam Bahasa Melayu. Mungkin sekarang belum terasa impaknya, namun saya yakin, 30 tahun akan datang bersama PPSMI, generasi kita akan ketandusan ilmu sains dan matematik dalam Bahasa Melayu. Ketika itu, ajarlah mereka untuk mengeja "matematik " dalam Bahasa Melayu. Sepertimana hilangnya perkataan TAWARIKH pada minda kami, generasi yang mengenali ia sebagai matapelajaran SEJARAH.

Lama-kelamaan, kita akan kehilangan ilmu itu, ilmu sains dalam Bahasa ibunda yang kita cintai, Bahasa Melayu.. bukankah itu satu kerugian..? Ilmu sains dalam Bahasa Inggeris memang banyak, tiada masalah. Malahan, buku rujukan yang baik di Universiti memang datang dalam Bahasa Inggeris. Tiada masalah untuk saya, mahupun pelajar-pelajar kita yang lain menelaahnya seperti biasa. Kerana seperti yang saya katakan, sebenarnya ia menjadikan kita lebih kaya.

Ini terbukti dengan ramai kawan-kawan guru sains SMK Sungai Pusu yang telah berjaya mendapat Band IV dalam English Profiency Test. Sememangnya kami kaya dengan ilmu sains dalam Bahasa Malaysia, disamping faham ilmu sains dalam Bahasa Inggeris!

Sebagai Yang Menurut Perintah, saya tetap langsungkan PPSMI sebaik mungkin. Segalanya demi PPSMI. Berjuta wang kerajaan yang telah dibelanjakan untuk CD, kursus ETEMS dan COSM untuk guru mahupun BISP PPSMI memang selayaknya digunakan dengan sebaiknya. Kita tidak mahu pembaziran. Namun, sebenarnya jauh di hati kecil, rasa kasihan melihatkan ada pelajar-pelajar lemah (majoritinya dari bangsa kita) yang semakin keliru akan konsep sains (akibat tidak mahir dalam Bahasa Inggeris dan sains adalah melibatkan KONSEP) dan golongan pelajar yang mahir, namun sudah tidak tahu istilah sains dalam Bahasa Melayu...

Rasanya kita, seorang Melayu.... berbahasa Melayu... sebenarnya bukan semakin kaya....

Wallahu'Alam...

6 comments:

zulaikha srvr 05/06... said...

cikgu....
saya sokong 100%.....
lebih baik kita tahu istilah2 dalam bm dan bi....

rajiah said...

Terima Kasih, Zulaikha..
Semoga anda terus sukses..

Rohaida said...

Saya sgt setuju dgn K.Jiah.Pernah mengajar sn & mat pd pljr Org Asli. Menyeksakan kita mengajar, & menyeksakan mereka belajar. Tp sbg kktgn KPM, tggjwb tetap dilaksanakan.

rajiah said...

Ye, betul tu Eda.. di sekolah kak Jiah pun ada pelajar orang asli.. dan kak jiah mengajar sains pada mereka.

hmm.. Rohaida ni, Rohaida Mat Taib ke..? ;)

zulaikha srvr 05/06... said...

terima kasih cikgu...

da lame x g skola...
rindu kat smksp...

sha filan said...

sgt stuju dgn pandangan cg..
sy nie dlu bljr dlm bm pub dlu terkontang kanting nak paham sains ngan matematik...inikan pula dlm english...huhu x tau ape yg dpt buka mate pihak yg terbabait utk sedar masalah yg bkl menimpa...huhuh =(