Saturday, April 25, 2009

ADIKKU RAFIDAH

Salam,

Semalam, Jumaat 25 April 2009, ke KLIA. Menghantar adikku, Rafidah sekeluarga dalam penerbangan ke Amsterdam - Manchester - Liverpool. Pidah, nama gelaran buatnya adalah adikku yang kedua. Jarak umur antara kami 4 tahun, sementara dia dan adik ketiga hanya setahun setengah, membuatkan dirinya lebih berdikari berbanding kakak dan adiknya..

Pidah seorang yang pendiam sejak zaman kecilnya, seingatku dia sering bermain sendirian (lantaran aku tidak mahu bermain dengannya yang jauh beza umur!) sementelahan lagi mak sibuk menjaga adik ketigaku, Rislah yang sering sakit semasa bayinya. Pidah suka melukis, mewarna dan tidak banyak hal.

Kecerdasannya terserlah sewaktu mula bersekolah pada tahun 1986. Kami bersekolah di Sekolah Rendah Tengku Mariam, B. Pahat Johor. Aku di darjah 5 dan dia di dalam darjah 1. Pidah sentiasa berada di tempat pertama. Dan dia hanya mahu berbaju kurung ke sekolah! Kelakar melihatkan pemikirannya yang lebih matang berbanding aku sejak dari darjah satu!

Peperiksaan UPSR, seperti yang diduga dia mendapat 5A ( aku 4A 1B ye!) , PMR straight 8A1 (aku kakaknya 6A1 2A2) dan ini melayakkan beliau mendapat 2 tawaran ke tingkatan 4 di Sekolah Tengku Kurshiah atau MRSM Taiping. Kedua-duanya sekolah elit terpilih. Dia memilih MRSM Taiping.

SPM beliau menggemparkan keluarga kerana sewaktu itu (1996) belum ada dalam sejarah keluarga mendapat keputusan sebaik beliau, mengambil 9 subjek, beliau mendapat terbaik Aggregate 6 dengan 7A1 dan 2A2. (Sedangkan aku SPM 1992 - 11 Aggregate)

Beliau ditawarkan biasiswa MARA mengikuti program Accelerated ALevel selama setahun, dan kemudian ke Manchester University, UK dalam bidang Kejuruteraan. Malangnya, kegawatan ekonomi tahun 1998 menjerut pelajar-pelajar terpilih seangkatannya yang sudah tamat ALevel, namun tidak ditanggung 100% perbelanjaan ke UK. Dia tiada pilihan. Mana mahu dicari wang, terpaksa memohon menyambung pengajian di Universiti Malaya dalam bidang yang dicintainya, Kejuruteraan Mekanikal (walaupun fizikalnya dan pembawaannya, dia kelihatan seperti ustazah!)

Kemudiannya, dia dianugerahkan Ijazah Kejuruteraan Mekanikal (Kelas Pertama) dari UM - yang membanggakan, tahun tersebut, dialah satu-satunya anak melayu- dan perempuan yang mendapat Kelas Pertama Kejuruteraan Mekanikal UM, Anugerah Dekannya berderet-deret sejak dari tahun pertama! Dengan biasiswa New Strait Times, beliau menjadi jurutera di kilang NST Shah Alam, sebentar cuma sebelum menyambung pengajian ke peringkat Sarjana juga di UM.

Tamat Sarjana, beliau berkhidmat sebagai Pensyarah di Universiti Teknikal Melaka di Fakulti Kejuruteraan. Dan malam tadi, dia bersama 2 anak lelakinya , Muhammad (5 thn) dan Ibrahim (2 thn) dan suaminya (Azman) ke Liverpool, UK untuk Pidah menyambung pengajian ke peringkat PhD selama 3 - 4 tahun.

Dia mengalirkan air mata sewaktu meninggalkan kami. Ayah, mak dan aku menahan air mata sebak. Tidak dinafikan, selama ini pun dialah yang paling dekat dan prihatin pada kedua orang tuaku, lantaran lokasinya berdekatan Batu Pahat, berbanding aku di KL. Sementelahan lagi suaminya juga orang Batu Pahat.

Untuk Pidah.. Selamat Maju Jaya.. Ingin kunyatakan disini.. Kakakmu ini terlalu menyayangimu...


PIDAH DAN MUHAMMAD DI KLIA

5 comments:

Sofinee Harun said...

Rajiaj..cakap dgn pidah..boleh jalan2 rumah finie nanti.

rajiah said...

ok.. Insya-Allah.. ;)

zulaikha said...

tahniah..
kagum dengan semangat beliau....

sampaikan salam sy pd beliau...



p/s: lame x jumpe cikgu...
rindu~~

rajiah said...

Salam..

Zulaikha.. terima kasih atas ucapan sms selamat hari ibu ..

Insya-Allah akan cg sampaikan..

Dkopsunintended@A.I.N said...

Salam...
Rindula pd Kak Fid bile baca post Kak Yah...