Sunday, February 7, 2010

REZEKI

Salam,

Sewaktu kecil, saya memahami 'rezeki' itu adalah merupakan objek material seperti duit atau makanan. "Dapat rezeki" maknanya dapat duit. "Ada rezeki" maknanya ada duit atau ada makanan. Itulah pemikiran jumud seorang kanak-kanak bernama saya.

Kedewasaan ini membawa saya kepada pemikiran yang lebih realistik. Semakin hari, semakin usia meningkat, semakin banyak peristiwa menerjah jendela kehidupan, saya mula memahami rezeki Allah itu tidak terbatas. Apa istilah rezeki dalam kamus hidup saya kini? Rezeki bukan saja dari aspek wang ringgit, harta kekayaan, rezeki adalah anak-anak, terutama yang soleh dan solehah, rezeki ketenteraman, rezeki kesihatan yang baik, rezeki udara yang dihirup, rezeki kawan-kawan dan tetangga yang bertimbangrasa, rezeki ruang masa yang diberi (kesempatan melaksanakan tanggungjawab walau kelihatan masa begitu sempit), rezeki berupa peluang atau pertolongan yang datang tanpa disangka-sangka, Subhanallah, jika difikirkan, setiap saat kita meneguk rezeki ihsan Allah. Maka nikmat Allah yang mana lagikah yang kamu nafikan?

Masya-Allah... bila saya fikir-fikirkan, banyaknya rezeki yang telah Allah berikan pada kita semua. Cuma kadang-kadang kita kurang merasa bersyukur kerana merasa rezeki itu masih kurang. Hanya berupaya memiliki Proton Saga, padahal orang lain memiliki Wira, atau Mercedez atau apa saja. Kita tidak ingat, masih ada orang yang belum tentu ada rezeki memiliki kenderaan pun. Bersyukur dengan apa saja rezeki halal yang Allah anugerahkan, setelah berusaha dengan ikhlas. Bersyukur dan redha adalah ubat yang paling mujarab pada semua penyakit hati. Masya-Allah, walau secara teorinya semacam mudah, praktikalnya memerlukan kekuatan dan kebersihan jiwa. Berfikir positif, bersangka baik sesama insan, tidak cepat melatah dengan perkara kecil. Apa yang pasti, insan yang dapat mempraktikkan syukur dan redha, akan menjadi insan yang aman tenteram jiwanya, sentiasa di bawah payung rahmat Allah.. Subhanallah.... bukankan itu juga (ketenteraman jiwa) merupakan rezeki Allah..?

Menamatkan kehidupan ini dengan sebaik-baiknya (husnul khatimah) juga adalah rezeki. Kesinambungan daripada rezeki-rezeki yang dianugerahkah Allah sewaktu hayat, pandai-pandailah kita mendayung kehidupan untuk rezeki yang lebih Nyata, hakiki di alam akhirat kelak...

Maha Suci Allah.. kita adalah hamba yang amat dhaif dan lemah.. sentiasa mengharap keredhaanMu, Ya Allah.. janganlah Kau lepaskan kami walau sesaat pun, Ya Allah... genggamlah jiwa-jiwa kami dalam rahmat dan penunjukMu, Ya Allah Tuhan sekalian Alam..

No comments: