Wednesday, November 4, 2009

Yang Amat Berhormat

Salam..,

Berbincang dengan suami tentang perangai sesetengah professor mahupun orang yang kaya dan berjaya, rupa-rupanya ada banyak perkara yang menjadi titik hitam pada sahsiah sesetengah individu yang kaya dan berjaya. Sifat ego, tamak, meninggi diri, busuk hati begitu mudah melekat pada hati mereka. Mengapa? Kerana tuntutan hidup mereka yang begitu kompleks, mencabar serta melibatkan wang yang banyak (harta dunia) mahupun kemasyuran nama di dunia menyebabkan mereka mudah lupa asal usul sebagai hamba Allah. Rasanya 'complexity' kehidupan yang mereka alami adalah satu cabaran yang kuat untuk kekal zuhud sebagai hamba Allah. Mereka adalah bos dengan gelaran Sir, Dato', Tan Sri, Dato' Sri dan banyak lagi, yang memungkinkan mereka dapat memiliki segala-galanya didunia ini.

Saya sedang membaca buku Aisyah: Keanggunan Sejati. Rupa-rupanya Rasulullah selalu berdoa agar ia sentiasa bersama-sama dengan orang miskin. Siti Aisyah bertanya mengapa dan Rasulullah menjawab, "Tahukah kamu Aisyah, orang miskin masuk syurga 40 tahun lebih awal dari orang kaya, oleh itu janganlah kamu menidakkan orang miskin". Frasa itu menyebabkan saya terfikir, mengapa demikian? Lantas hasil pemerhatian, membawa minda ini pada satu jawapan: "Complexity" hidup. tidak hairanlah Dato', Tan Sri, Dato' Sri yang memiliki hidup yang amat kompleks, memungkinkan mereka membuat lebih banyak dosa berbanding dengan orang miskin yang hidupnya lebih simple dan ringkas. Dosa disini, rasanya lebih kepada dosa sesama manusia...(tidak dinafikan ada orang kaya yang begitu zuhud sebagai hamba Allah, Alhamdulillah). Harus diingat, kekayaan dan kefakiran melampau boleh membawa kepada kekufuran. Semua itu antara dugaan dalam kehidupan.

Dalam buku Telaga Budi, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah berkata, "Saya takut orang yang diberi gelaran di dunia umpamanya dengan pangkat Yang Amat Berhormat, tahu-tahu diakhirat kelak, gelaran itu menjadi terbalik. Daripada Al-Aziz menjadi Yang Amat Hina. Daripada Yang Amat Setia kepada Yang Amat Derhaka, Daripada Yang Amat Arif menjadi Yang Amat Bebal lagi Buta Hati. Daripada Yang Amat Berbahagia menjadi Yang Amat Berdukacita."

Saya amat takut dan bimbang.. kerana kematian adalah "Game Over" dan akhirat adalah sesuatu yang abadi.. tak akan boleh balik ke dunia bagi menebus dosa.. walahu'alam.. Ya Allah, lindungilah kami..

No comments: